Monday, February 9, 2009

MLM? Piramid? ...


MLM? Jualan Langsung? Piramid? (Part 1)
Published by Ahmad Sufyan Che Abdullah [iDeologi] on 2007/3/3
MLM? Jualan Langsung? Piramid? (Part 1)

Zaman sekarang, orang cari orang bukan kerana nak bahagikan wang ringgit, tetapi nak meminta wang ringgit. Saya rasa amat jarang atau hampir tiada, kawan cari kawan untuk tiba-tiba berikan wang, "Nah, aku berikan wang RM1000 kepada kamu." Paling-paling baik pun, kena minta derma dulu barulah dapat. Yang paling banyak zaman sekarang ialah, kawan mencari kawan kerana ajak join MLM atau Multilevel Marketting

Apa itu multilevel marketting? atau dengan nama mudahnya MLM. MLM ialah bermaksud sistem pemasaran pelbagai tingkat. Kaedah ini, menurut Stephen Barrett (penulis bidang ekonomi), telah bermula pada tahun sekitar 1920an lagi oleh Carl Rehnborg, seorang berbangsa Amerika yang menetap di China, tetapi dikembangkan oleh pelopor utama MLM iaitu Amway. Sistem jualan langsung dengan kaedah MLM ini dikatakan telah menjadi inovasi yang paling hebat dalam kaedah pemasaran, pada tahun 1980an.

Sesetengah keadaan MLM dinamakan juga sebagai Jualan Langsung kerana ia menggunakan kaedah Jualan Langsung. Akta Jualan Langsung 1993 telah mendefinisikan Jualan Langsung atau Direct Selling sebagai "jualan dari pintu ke pintu dan jualan pesanan pos." Oleh kerana kaedah jualan MLM juga menjual dari pintu ke pintu atau pun secara pos, maka MLM tertakluk kepada AJL 1993 ini dan setiap syarikat yang ingin beroperasi dengan kaedah jualan langsung perlu mendapatkan lesen dahulu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Namun begitu, MLM bukan satu-satunya cara jualan langsung, kerana menurut KPDNHEP, terdapat 4 jenis utama Jualan Langsung di Malaysia iaitu:
i. Single Level Marketing, jualan langsung satu tingkat.
ii. Multi Level Marketing, jualan langsung berbilang tingkat.
iii. Mail Order, jualan langsung secara pos; dan,
iv. Gabungan antara Mail Order dan Single Level

Berdasarkan statistik oleh KPDNHEP sehingga Disember 2006, terdapat 389 pemegang lesen jualan langsung berasaskan MLM berbanding 163 SLM (single level marketing), 36 pemegang lesen MO (Mail Order) dan 30 pemegang lesen gabungan antara SLM dan MO. Daripada statistik ini, adalah jelas bahawa, MLM sangat diminati dan sangat digilai sebagai satu strategi pemasaran produk yang menarik dan menguntungkan.

Apakah Sebenarnya MLM?

MLM seperti yang telah dijelaskan, ialah satu kaedah pemasaran produk, yang mana setiap individu yang menjadi ahli sesebuah syarikat itu boleh menjual secara terus kepada pelanggan barangan syarikat tersebut, tetapi diletakkan secara bertingkat berasaskan kepada ranking atau pangkat ahli tersebut. Biasanya setiap syarikat akan mencipta kaedah penyusunan pangkat secara tersendiri. Semakin cepat pangkat boleh dinaikkan, semakin menariklah Syarikat MLM tersebut. Biasanya, sebaik sahaja menjadi ahli, seseorang itu boleh mendapat keuntungan antara 15% - 30% daripada harga barangan yang dijual, pada masa yang sama dia boleh untuk merekrut ahli di bawahnya. Setelah wujud ahli dibawahnya, biasanya keuntungan yang didapatinya akan bertambah hingga kepada 50% dan semakin tinggi pangkatnya, semakin besar margin keuntungan daripada barangan yang dijualnya. Pada masa yang sama, setiap belian daripada orang yang terletak di bawahnya, dia juga mendapat mata ganjaran ataupun dalam bentuk keuntungan wang tunai.

Setiap MLM akan buat berbeza antara MLM yang lain, untuk menarik orang menyertai syarikatnya. Ada di antara MLM memberikan mata ganjaran, ada yang memerlukan maintain pembelian produk, dan ada juga yang perlu merekrut ahli seramai mungkin di bawahnya. Biasanya, pada zaman sekarang, MLM yang berasaskan jualan atau pembelian produk secara tetap dan konsisten sudah tidak menjadi pilihan lagi.

Objektif Asal MLM?

Paul Klebniov menjelaskan asal penubuhan MLM ialah untuk membentuk satu rangkaian perniagaan yang mana terdapat pelanggan setia yang akan sentiasa mendapatkan barangan secara tetap daripada sesebuah syarikat. Namun begitu, beliau tidak menolak bahawa wujudnya objektif mencipta skim piramid dalam asas penciptaan kaedah MLM dalam pemasaran, kerana MLM pada masa yang sama akan membentuk skim piramid hasil daripada perekrutan ahli oleh setiap ahli yang lain.

Sejak akhir-akhir ini, objektif mewujudkan pelanggan setiap telah bertukar menjadi skim piramid. Hal ini berlaku apabila setiap MLM tidak lagi menfokuskan kepada pembelian dan penjual produk, tetapi lebih menfokuskan kepada perekrutan ahli. Jika ahli merekrut ahli semakin ramai, maka terbentuklah suatu sistem piramid yang tidak ada noktahnya, atau infiniti ahlinya.

Apa Itu Skim Piramid?

Skim Piramid terbentuk apabila setiap ahli merekrut beberapa orang ahli, kemudian ahli di bawahnya pula merekrut ahli yang lain, seterusnya hinggalah tiada hujungnya. Skim ini amat mudah terbentuk dalam perniagaan MLM kerana MLM tidak menyekat tingkat yang boleh didapati oleh seseorang, tetapi pada masa yang sama menyekat tahap keuntungan jualan produk. Cuba bayangkan, A dapatkan ahli dibawahnya B dan C. B pun nak untung lebih, akan dapatkan ahli D dengan E, C pun nak ahli, lalu carilah F dengan G, maka D dengan E pun nak ahli, masing-masing dapatkan H dengan I dan J dengan K. Dan begitulah berlakunya selepas itu, sampai bila?

Namun begitu, menurut undang-undang, Skim Piramid adalah berbeza dengan MLM kerana Skim Piramid bukanlah perniagaan tetapi mendepositkan wang kepada orang yang berada di level atau peringkat atas dengan kaedah merekrutkan ahli sesebuah syarikat. Menurut KPDNHEP, skim piramid merupakan satu skim perkiraan bagi pengedaran atau penjualan komoditi. Seseorang itu mendapat suatu balasan atau faedah wang yang tidak bergantung pada jumlah atau kuantiti barang dan perkhidmatan yang dijual atau diedarkan, tetapi yang diasaskan adalah kepada penajaan seorang atau lebih peserta ke dalam skim tersebut.

Ciri-ciri Skim Piramid menurut KPDNHEP adalah seperi berikut:

- Menetapkan bilangan penajaan seperti ganjaran atau bonus dibayar berdasarkan kepada penajaan ahli yang ditetapkan, bukannya berdasarkan jumlah jualan yang dibuat.
- Menjanjikan pendapatan yang tinggi dalam masa yang singkat berdasarkan bilangan ahli yang ditaja.
- Skim latihan dan ceramah yang dianjurkan tidak menekan kepada kualiti produk atau cara memasarkan produk, tetapi lebih kepada cara bagaimana untuk menarik masuk peserta baru dalam skim.
- Harga barangan atau perkhidmatan adalah lebih tinggi dan tidak setimpal dengan nilai sebenar barangan atau perkhidmatan tersebut.

Kerajaan telah mengambil langkah mengharamkan skim ini kerana ia lebih menjurus kepada skim cepat kaya yang memberi keuntungan hanya kepada segelintir perserta yang telah berada di peringkat tertinggi dan tidak kepada sebahagian besar peserta yang masih berada di peringkat bawahan. Dengan kata lain, hanya beberapa peserta terawal atau atasan sahaja yang mendapat faedah atau pulangan lumayan dan sebahagian besar peserta di peringkat bawahan hanyalah penyumbang supaya peserta atasan dapat menikmati faedah.

Menurut KPDHEP juga, kerajaan sekarang ini sedang menggubal Akta Anti Piramid bagi mengharamkan skim ini dan akan mengenakan hukuman mandatori (denda dan penjara) ke atas penganjur dan juga peserta skim.

.... Bersambung.. part 2
Sumber : http://www.extro.biz/portal

No comments:

Post a Comment