Tuesday, June 28, 2011

PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ


PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Israa: ayat 1).

Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.
(Surah an-Najm: ayat 13-18).
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.


SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).
Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.
Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.


PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ
Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.
Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.


KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:
Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.
Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.
Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.
Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.
Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.
Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.


DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.
Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.
Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.


PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.
Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.
Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.
Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir.
Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.
Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.


PENUTUP
Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.

Restoran Salah Guna Ayat Al-Quran Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang


Selasa Jun 28, 2011 (mstar.com.my)
Restoran Salah Guna Ayat Al-Quran Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Pengusaha restoran yang sengaja meletakkan tulisan Jawi atau ayat Al-Quran bagi memberi tanggapan bahawa premis mereka berstatus halal boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang bakal berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan pengusaha restoran itu dianggap sebagai cubaan mengelirukan pengguna terutamanya bagi menarik pelanggan beragama Islam datang ke premis mereka.

"Menerusi akta ini, pengguna boleh membuat aduan mengenai kewujudan restoran sebegini dan kita boleh ambil tindakan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Akta Perihal Dagangan 2011 di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata, sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri sahaja yang boleh diguna pakai apabila akta berkenaan berkuat kuasa.

"Selepas ini, hanya satu bentuk sijil halal dikeluarkan supaya tidak wujud lagi kekeliruan. Akta ini juga akan menghalang badan-badan pensijilan yang tidak berwibawa daripada mengeluarkan sijil halal dan logo halal," katanya.

Bagi barangan yang diimport pula, Ismail Sabri berkata ia perlu mempunyai sijil halal Jakim atau mana-mana badan persijilan luar negara yang diiktiraf Jakim.

"Kalau dahulu, tidak ada kawalan mengenai pensijilan produk dari luar negara tapi sekarang Jakim telah kenal pasti pihak yang berkuasa untuk mengeluarkan sijil halal (bagi produk dari luar negara).

"Jadi, mana-mana produk dari luar negara yang logo halalnya tidak diiktiraf akan tidak dibenarkan masuk ke negara kita," katanya.

Ismail Sabri berkata, akta itu juga membolehkan kementerian mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjual barangan tiruan.

"Peniaga yang didapati menjual barangan tiruan bakal dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap satu barang yang disita andai akta ini diluluskan kelak," katanya.

Mengenai tawaran dan iklan jualan murah, Ismail Sabri berkata kementerian hanya mengeluarkan permit kepada pemilik kedai yang menyenaraikan lebih 50 peratus daripada barangan jualan pada harga murah.

"Kita tidak akan keluarkan lesen jualan murah jika ada 10 barang sahaja dijual pada harga murah. Kita mensyaratkan mesti 50 peratus daripada keseluruhan barangan yang dijual.

"Peniaga juga hanya dibenarkan mengadakan jualan murah tiga kali setahun. Peniaga yang didapati memalsukan iklan jualan murah juga akan turut dikenakan tindakan menerusi akta ini," katanya.

Dewan kemudian meluluskan rang undang-undang berkenaan yang bertujuan untuk menggalakkan amalan perdagangan yang baik dengan melarang perihal dagangan palsu atau mengelirukan berhubung dengan pembekalan barang-barang dan perkhidmatan.

Thursday, June 9, 2011

Cikgu Saya Cikgu Anda


"Jika anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan, kita akan berpesan kepadanya, jawab sebagaimana yang cikgu ajar. Jika betul, lulus. Jika salah jawabnya gagal. Di akhirat kelak, peperiksaan di hadapan Allah SWT nanti juga memerlukan kepada jawapan yang sama dengan cikgu ajar. Cikgu itu ialah Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT. Jawab seperti yang cikgu ajar, syurga balasannya. Gagal menjawab seperti yang diajar cikgu, nerakalah balasannya..."

Tazkirah di Majlis Iftor Bersama Pegawai dan Pengetua Sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan di Dewan YIK, Nilam Puri pada 12 Ogos 2010.

Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Monday, June 6, 2011

SAYANGI SAYANG ANDA


Seorang isteri mengadu pada suaminya…..”bang badan saya sakit-sakit”….lalu suami berkata….”itu la buat kerja banyak sangat, sakit urat kot”. Seorang isteri mengadu…”bang saya rasa pening rasa nak pitam”…lalu suami berkata….”dah lah tu…makan panadol…..penat sangat tuh”. Seorang isteri mengadu…..”bang duit belanja dapur dah habis”….lalu suami berkata…”aik…kan baru bagi lagi …takkan dah habis…pening la macam ni”. Seorang isteri mengadu…”bang saya rasa penat nak bersama”….lalu suami berkata…”ala asyik penat jer….stress betul”. Seorang isteri mengadu …..”bang badan saya kebelakangan ni rasa sejuk-sejuk jer, kenapa?”...lalu suami berkata…..”nak demam kot”. Seorang isteri mengajak…..”bang boleh bawak saya bergi buat check –up tak”…lalu suami berkata….”lain kali la…abang busy…lain kali kita pergi”. Seorang isteri memohon…..”bang….boleh bagi saya cuti satu hari….saya nak berehat…abang bawak anak keluar…saya betul-betul dah penat”….suami berkata…..”alaaaa…abangpun penat juga”. Walhal seorang suami waktu cutinya boleh tidur selama mana diingini….. Namun suatu hari…. Si isteri merayu sambil menangis….”Bang sempena hari ibu ni saya nak minta satu permintaan, boleh tolong saya tak? Tolong bawa anak-anak keluar sekejap tak saya nak tidur”. Lalu melihat kan airmata dan rayuan isteri tadi suami bersetuju….”baiklah abang bawak pergi rumah mak…nanti petang abang balik”. Namun, sekembalinya suami ke rumah……si isteri dilihat tidur dengan nyenyak dan apabila dikejutkan si isteri rupanya telah tidur untuk selamanya….. Akhirnya suami tadi sedar tapi segalanya dah terlambat baginya…. SAYANG….abang mintak maaf…. Bila SAYANG mengadu sakit2 badan…. Abang sangkakan SAYANG sakit urat…..tapi penyakit itu telah menular dan menyakiti SAYANG di segenap nadi SAYANG…. Bila SAYANG mengadu pening dan rasa nak pitam…abang sangkakan…..penyakit biasa dan suruh SAYANG telan panadol jer…. Bila SAYANG mengadu duit belanja dapur dah habis…abang bising cakap abang pening kepala pikul beban sorang-sorang…walhal SAYANG juga pening memikirkan macamana nak berjimat sampai SAYANG nak beli keperluan SAYANGpun tak cukup….sampai SAYANG nak beli barang-barang peribadi SAYANG pun susah….sampai SAYANG nak menggantikan pakaian dalaman SAYANG sebulan satu pun tak der…. Bila SAYANG mengadu penat nak bersama…..abang selalu marah2 dan berhasrat nak cari lain…walhal sel-sel badan SAYANG dah x mampu nak tanggung beban tugas seharian SAYANG di rumah…. Bila SAYANG ajak abang pergi buat check up…..abang kata abang sibuk walhal kerja opis abang tak pernah habis…..dan masa yang ada kekadang abang tolong kawan-kawan….. Bila SAYANG mengadu rasa sejuk2 badan dan abang kata nak demam rupanya itu tanda-tanda SAYANG dah nak pergi….. Bila SAYANG mengadu nak cuti sehari….sebagai majikan SAYANG …abang tak pernah bagi cuti walau setengah hari…..kesian SAYANG …. SAYANG…maafkan abang….abang tak pernah nampak semua kesakitan yang SAYANG alami tuh….kuatnya SAYANG hadapi setiap kesakitan itu plus dengan kerenah abang dan anak-anak. Abang tak pernah hirau nak baawak SAYANG ke klinik buat full body check up kerana abang ingat semua tu sakit biasa. Nampak sayang sentiasa sihat dan tersenyum waktu abang balik…Cuma sayang mengadu macam tuh jer….. Maafkan abang kerana tak pernah ambil serius kesihatan SAYANG …..Namun….semuanya dah terlambat…. SAYANG dah pergi untuk selamanya….segalanya takkan berpatah balik….Sekarang selama seminggu pemergian SAYANG …..abang ambil cuti menguruskan anak-anak dan abang rasa keletihan dan kelelahan SAYANG …..bagi abang kerja di opis masih juga ada waktu abang berehat….agaknya sebab tulah SAYANG penat sangat…. Maafkan abang kerana semuanya sudah terlambat……